Thursday, 27 September 2012

Catatan Kelima


Situasi Lima
Sewaktu bersiar-siar di kawasan tanjung malim, aku melihat alangkah baiknya jika nama Proton City ditukar kepada Bandar raya Proton. Apakah jika bahasa Melayu digunakan akan jatuh taraf sesuatu perkara itu? Apakah jika menggunakan bahasa Melayu, kawasan berkenaan akan menjadi tidak terkenal? selain kawasan, nama jalan juga sering menggunakan bahasa asing. Antaranya Tapah Road. Pihak yang berwajib seharusnya memandang serius perkara ini.


Komen:
Pada pengamatan saya, bagi memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan, seharusnya penggunaannya diperkasakan. Terdapat banyak kosa kata dalam bahasa Melayu yang boleh digunakan.pencampuran bahasa ini akan menyemaikan budaya bahasa rojak dalam kalangan masyarakat. Penggunaan bahasa Melayu yang meluas juga akan mengelakkan generasi muda hilang kebanggaan kepada bahasa mereka. Terdapat golongan yang terlalu bangga apabila sudah mampu untuk berbahasa asing dan melupakan bahasa Melayu. Seharusnya perkara ini dibendung dari peringkat awal.

Catatan Hari Keempat


Situasi 4
Lampu isyarat mempunyai tiga warna iaitu hijau merah dan kuning. Hijau membawa maksud boleh jalan jika selamat, merah berhenti dan kuning bersedia untuk berhenti. Ketika aku pulang dari kuliah, aku melalui sebuah lampu isyarat berhampiran Petronas Tanjung Malim. Lampu isyarat ketika itu menunjukkan warna kuning, aku memperlahankan motosikalku dan bersiap- sedia untuk berhenti. Tiba-tiba aku dihon, aku cepat-cepat mengelak ke tepi. Sebuah kereta memecut laju walaupun lampu sudah bertukar merah. Aku hanya mampu menggelengkan kepala melihat gelagat pemandu kereta itu.
Komen:
Bahasa isyarat merupakan salah satu jenis bahasa. Jika di jalan raya, bahasa ini digambarkan melalui papan tanda dan lampu isyarat. Ia akan menggambarkan maksud-maksud tertentu. Pengguna jalan raya mesti mematuhi isyarat-isyarat ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Tindakan pemandu yang melanggar lampu merah itu menunjukkan bahawa pemandu berkenaan amat mementingkan diri dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Catatan Hari Ketiga

gambar hiasan

Situasi 3
Aku mengambil angin malam dengan bersiar-siar menaiki motosikal. Aku melalui jalan hulu bernam lalu masuk ke pekan tanjung malim. Aku terus menunggang motor ke arah BHP. Selepas lampu isyarat pekan tanjung malim, aku tersentak apabila melihat kilau lampu berwarna biru. Rupa-rupanya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) membuat sekatan jalan raya. Walau bagaimanapun aku terus memandu ke arahnya. Lampu berwarna merah diangkat oleh anggota JPJ  lalu menahan aku. Tanpa senyuman, anggota tersebut meminta kad pengenalan dan lesen memandu ku. Nada suara yang dikeluarkan juga agak keras. Aku dilayan umpama seorang pesalah. Setelah diperiksa, kad pengenalan dan lesen memandu ku diserahkan semula. terdetik dalam hatiku berlagak nya anggota JPJ itu
Komen:
Bahasa akan mencerminkan peribadi seseorang itu. Dengan bahasa kita boleh menilai sikap dan personaliti seseorang. Tidak salah sekiranya anggota JPJ itu menggunakan nada suara yang lebih berhemah. Mimik muka juga memainkan peranan ketika bercakap.  Senyuman dapat menggambarkan seseorang itu lebih mesra berbanding muka yang kelat sahaja. Dalam masyarakat, seorang yang lebih ceria atau selalu tersenyum akan lebih dekat dan dikenali dalam kalangan ahli masyarakat

Catatan Hari Kedua


Situasi 2
Sewaktu aku pulang dari kuliah, aku melihat satu peristiwa yang agak menyentuh hati. Aku menunggang motosikal dengan perlahan. Ketika aku hendak sampai ke lampu isyarat, aku melihat dari jauh dua orang yang  tua berjalan. Mereka berjalan dari kampung Berop menghala ke arah stesen minyak BHP. Aku memerhatikan tingkah laku orang tua itu. Lelaki tua itu memegang erat tangan pasangannya. Mereka jalan perlahan-lahan. Aku lihat wajah perempuan tua itu keletihan. Mungkin tidak mampu berjalan lagi. Lelaki tua itu terus memimpin wanita tua itu dan meneruskan perjalanan. Tiba-tiba aku berfikir mampukah aku jika sudah tua nanti melayani pasangan ku sedemikian…
Komen:
Bahasa bukan sahaja secara verbal, malah inverbal. Kelakuan lelaki tua itu memegang erat serta memimpin pasangannya menunjukkan bahawa dia amat kasih dan sayang terhadap pasangannya. Kadangkala sesetengah perkara tidak perlu dilafazkan untuk menyampaikan maksud. Cukup sekadar dengan perbuatan. Contoh lain yang dapat diambil ialah apabila jari telunjuk diletakkan di mulut, hal ini menandakan supaya orang lain diminta untuk senyap.

Wednesday, 26 September 2012

Catatan Hari Pertama



Catatan 1
Seorang ibu sering memarahi anaknya.
Aku tinggal dalam satu kawasan perumahan yang agak padat. Kedudukan rumah yang amat rapat membuatkan aku boleh mendengar suara jiran sebelah ku. Salah seorang jiranku mempunyai anak yang masih kecil. Anak tersebut dalam lingkungan umur dua atau tiga tahun. Semenjak aku tinggal di sini, aku sering kali mendengar ibu atau bapa kanak-kanak berkenaan memarahi anak kecil itu. Pelbagai kata yang agak keras dilontarkan kepada anak yang masih kecil itu.

Komen :
Pada pandangan saya, penggunaan kata-kata yang agak keras tidak sesuai untuk kanak-kanak. Persekitaran perkembangan kanak-kanak sudah pasti akan mempengaruhi sikap kanak-kanak itu kelak. Seharusnya sebagai ibu bapa, mereka seharusnya menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Sudah pasti sebagai ibu bapa, kita mahukan anak-anak menjadi insan yang baik dan berbudi pekerti. Perkataan yang kasar dan herdikan seharusnya dielakkan. Ibu bapa akan menjadi contoh kepada nak-anak dan seterusnya mempengaruhi sikap serta sahsiah diri. Pendekatan yang lebih berhemah akan membuatkan anak-anak lebih dekat kepada ibu bapa dan seterusnya mengelakkan kanak-kanak tersebut terlibat dengan perkara-perkara negatif.