Thursday, 8 November 2012

Catatan 25



Ketika saya sedang lepak bersama rakan-rakan saya, salah sorang rakan saya telah bangun tergesa-gesa. Kami bertanya mengapa dia bangun tergesa-gesa. Sambil tersengih dia berkata: "aku nk pergi BERAK jap". Dia menyebut perkataan “berak”. Perkataan tersebut merupakan bahasa basahan. sungguh tidak sopan kawan saya itu

Komen:
Bahasa halus wujud kerana pertimbangan terhadap orang yang dilawan bertutur. Kedudukan, pangkat, umur dan keakraban orang yang dilawan bertutur mempengaruhi pemilihan perkataan dan kata ganti nama. Bahasa halus juga ada kalanya digunakan dalam pertuturan serta surat menyurat apabila kata-kata yang bersopan digunakan. Bahasa kiasan dan peribahasa digunakan dengan meluas untuk menyatakan sesuatu secara halus atau tidak berterus terang. Perkataan “berak” harus ditukar kepada perkataan “buang air besar” jika berada dalam suasana yang formal. hal ini bagi menunjukkan sikap hormat kita kepada orang lain.

Catatan 24

Banyak belajar bahasa lain adalah bagus, walau bagaimanapun ianya akan memberi kesan dalam percakapan seharian kita. Inilah akibatnya kita belajar banyak bahasa. Kita akan menghadapi kecelaruan berbahasa dan menyebabkan kita tidak dapat bercakap dengan sempurna. Kadangkala kita mahu menunjuk-nunjuk bahawa kita pandai berbahasa Inggeris. Pada hal perkara yang diucapkannya adalah salah dan menyebabkan orang tergelak. Hari ari ini, ada seorang rakan telah menyebabkan saya tergelak. Dia menyebut cuba try test. Padahal perkataan itu memberi makna yang sama.

Komen:
Sekiranya kita kurang mahir dalam bahasa Inggeris, kita seharusnya jangan berlagak seperti orang mahir dan fasih. Kita seharusnya berbangga menuturkan bahasa Kebangsaan kita dalam perbualan seharian. Tidak ada bangsa lain yang ingin memartabatkan bahasa Melayu selain kita sendiri. Pengekalan bahasa Kebangsaan kita haruslah tersemat di dalam jiwa agar  rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Kebangsaan kita terus memekar di dalam jiwa kita semua. Bahasa jiwa bangsa

Sunday, 4 November 2012

Catatan 23


Hari ini aku mendengar lagu yang bertajuk ‘Aku Maafkan Kamu’ dendangan Jamal Abdillah dan Malique. Sudah lama sebenarnya lagu ini menarik perhatian aku namun kali ini aku cuba menyelami kandungan liriknya. Aku pun pulang ke rumah dan mencari lirik lagu ini dalam laman “Youtube”. Dalam komen-komen yang ditinggalkan dalam ruangan itu, aku tertarik pada komen seorang blogger yang menyatakan bahawa lagu ini perlu dimasukkan ke dalam antologi kompenan sastera (KOMSAS) pelajar sekolah dan pelajar perlu mentafsir makna disebalik lirik lagu ini. Aneh sekali ideanya. Namun, aku sebenarnya mengakui bahawa ada maksud tersendiri yang boleh kita jadikan pengajaran di sebalik keunikan melodi lagu ini.

Komen:
Bahasa itu suatu seni. Saya kagum bagaimana seseorang penulis lirik itu mempunyai banyak perbendaharaan kata dalam mencipta lirik-lirik lagu yang bagus dan seterusnya secara tidak langsung mengangkat martabat bahasa kebangsaan melalui cara mereka sendiri. Kata-kata yang digunakan adalah lebih kepada kiasan yang membawa maksud yang mendalam serta menegur secara sinis.

Catatan 22


Aku dan seorang rakan berkunjung ke pasar raya Billion untuk membeli pakaian. Aku ingin mencari dua helai baju kemeja lengan panjang untuk dipakai ke kuliah. Kami masuk dan terus pergi ke tingkat atas bangunan kerana tingkat ini mengandungi pakaian yang kami cari. Aku tertarik pada sehelai kemeja berwarna biru dan warna kelabu. Namun, agak mengecewakan apabila saiz baju itu terlalu besar. Aku lantas meminta jurujual mencarikan baju berwarna sama tetapi dengan saiz yang sesuai untuk aku. Dia meminta kami menunggu sementara dia mencari. Setelah 10 minit aku menunggu, dia datang semula. Baju yang aku inginkan tiada sebaliknya dia meminta kami menunggu lagi kerana ketuanya sedang mendapatkan baju kemeja tersebut. Aku bertanya adakah baju itu ada, dia mengangguk dan pergi semula. Aku terus menunggu dan menunggu dengan agak lama tanpa sebarang kepastian sehinggalah akhirnya aku dan rakan mengambil keputusan untuk pergi sahaja memandangkan aku perlu segera pulang ke kampus.
Komen:
Saya sebenarnya tidak kisah untuk menunggu dengan lama sekiranya barang yang saya kehendaki itu ada. Namun, situasi yang berlaku mengambarkan seolah-olah jurujual itu berbohong dan barang yang saya inginkan sebenarnya tiada. Tindakannya itu semakin merumitkan keadaan dan saya pula terpaksa menghabiskan masa yang agak lama pada sesuatu perkara yang tidak pasti. Walau bagaimanapun, saya masih bersyukur kerana saya mampu untuk bersabar dengan tindakan pelayan itu seterusnya mengelakkan pergaduhan.

Catatan 21


Setelah letih berjalan di sekitar Kuala Lumpur, aku pulang ke bumi Tanjong Malim. Aku berfikir mengenai kejadian yang berlaku di stesen LRT tadi. Suara tinggi atau meninggikan suara. Frasa yang hampir sama tetapi mempunyai maksud yang berbeza. Aku sengaja ingin mengaitkan penyataan ini dengan situasi yang aku alami di stesen LRT ketika aku ke Kuala Lumpur hari ini. Sedang aku asyik menunggu LRT untuk ke tempat yang ku tuju , tiba-tiba kedengaran suara kuat seorang lelaki yang dalam jangkaan aku berusia dalam lingkungan 30-an menjawab panggilan telefon bimbitnya. Kelantangan suaranya bercakap mungkin dengan rakannya dalam talian menyebabkan tindakannya menjadi perhatian semua orang. Ada yang ketawa kecil, ada juga yang menunjukkan reaksi kurang menyenangkan serta ada yang tidak menghiraukannya langsung. Kemungkinan suasana yang agak bising menyebabkan lelaki itu menguatkan suaranya atau mungkin juga suaranya memang lantang. Dia terus bercakap dan tidak menghiraukan pandangan orang sekelilingnya. Akhirnya, panggilannya dihentikan apabila sebuah LRT tiba. Lelaki  itu serta aku dan yang lain masuk ke dalamnya untuk meneruskan perjalanan masing-masing.
Komen:
 Walaupun situasi ini biasa berlaku di mana-mana namun cara seseorang mengendalikan suaranya dengan suasana sebenarnya memberikan kesan kepada sosialnya. Tidak salah meninggikan suara dalam keadaan bunyi bising namun mesti berpada. Begitu juga jika seseorang itu mempunyai suara yang lantang, individu itu masih boleh mengawalnya supaya dia tidak menganggu atau menarik perhatian masyarakat sekeliling ke arahnya. Kita juga seharusnya menghormati orang di sekeliling serta tidak mengganggu ketenteraman orang lain.

Monday, 22 October 2012

Catatan 20


 Hari ini, saya mengikuti  salah seorang rakan saya memulangkan buku yang telah dipinjamnya pada minggu lalu. Saya duduk di bangku berhampiran dengan kaunter pemulangan buku. Saya agak terkilan dengan sikap rakan saya ini kerana dia tidak mengamalkan nilai berterima kasih. Selepas dia memulangkan buku tersebut dia tidak mengucapkan terima kasih sebaliknya terus beredar. Seharusnya kita tidak berat mulut untuk mengucapkan “terima kasih” kerana kata ini mampu untuk membentuk satu hubungan yang mesra antara  masyarakat.

Komen:
Inilah salah satu budaya yang kita harus elakkan. Walaupun perkara tersebut berbunyi seperti agak remeh, tetapi ia penting dalam perhubungan kita seharian. Jika kita sudah menggunakan dan meminjam barang orang lain, kita harus mengucapkan “terima kasih”. Bahasa mencerminkan jati diri penuturnya. Secara tidak langsung ini dapat menggalakkan lagi perhubungan yang lebih mesra dan erat dalam kalangan ahli masyarakat. Lebih menarik jika ucapan itu diiringi dengan senyuman yang mesra. Saya pasti orang lain akan lebih senang membantu pada masa yang lain.

Catatan 19


Semenjak bergelar mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pelbagai dialek yang saya telah pelajari. Salah satu  perkara yang agak menarik berkaitan dialek ialah persamaan perkataan tetapi memberi makna yang berbeza. Terdapat satu perkataan yang sama membawa maksud yang berlainan. Contohnya perkataan “saing”. Jika kawan saya yang berasal dari Johor menyebut perkataan “saing” saya tahu bahawa dia ingin mengajak saya pergi bersama-sama. Sekiranya kawan saya berasal dari Kelantan menyebut perkataan tersebut, itu bererti saya adalah kawannya. Jika mula-mula mendengar perkataan ini dahulu, saya akan berasa keliru.

Komen:
Bahasa dialek sesuatu kawasan mempunyai perkataan yang sama, tetapi berbeza daripada segi makna perkataan tersebut. Kadang-kala bahasa dialek ini akan mengelirukan seseorang penutur yang bukan datangnya dari daerah yang sama. Sebaiknya kita haruslah belajar bahasa dialek dari negeri-negeri lain untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan. Inilah cabaran kita sebagai guru. Jika kita mengajar di Kelantan, kita harus memahami bahasa dialek Kelantan, begitu juga dengan sebaliknya. Dialek ini juga mampu mendekatkan kita dengan sesuatu golongan masyarakat itu.

Catatan 18


Petang tadi saya pergi ke stesen minyak BHP bukan untuk mengisi minyak sebaliknya untuk mengambil duit di mesin ATM Bank Islam. Semasa sedang beratur, saya memerhatikan orang yang sedang mengeluarkan duit di hadapan saya. Saya perhatikan bahawa dia memilih bahasa Inggeris untuk melakukan pengeluaran duit. Selepas memilih bahasa Inggeris, saya mendapati dia membatalkan urus niaganya. Dia mengeluarkan semula kad ATM lalu memasukkannya semula. Selepas itu, dia memilih bahasa Melayu. Rupa-rupanya, dia kurang mahir menggunakan bahasa Inggeris.

Komen:
Inilah budaya yang berlaku di Malaysia, tanpa disedari, kita terlalu mengagungkan bahasa Inggeris. Walaupun tidak pandai menggunakan bahasa Inggeris, namun sesetengah orang tetap berlagak menggunakan bahasa tersebut. Sebagai warganegara Malaysia, kita harus berbangga dengan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan kita. Kita harus memartabatkan dan mengangkat bahasa Melayu agar bahasa kita menjadi bahasa antarabangsa seperti bahasa China dan bahasa Jepun.

Catatan 17


Catatan 17
Pada hari ini, saya pergi ke pasar raya TF di Behrang 2010 untuk membeli barang. Semasa asyik membeli belah, saya terpijak kaki seorang lelaki. Saya segera  memohon maaf kepada lelaki tersebut. Walau bagai mana pun, ungkapan maaf tersebut tidak disambut dan tidak dipedulikan sebaliknya dia terus pergi.

Komen:
Kita seharusnya memaafkan kesilapan yang dilakukan oleh orang lain. Sifat memaafkan orang lain merupakan sifat yang baik. Kadang-kala kesilapan yang dilakukan adalah secara tidak sengaja. Dalam hubungan sosial, kita harus bersifat terbuka dan jangan bersifat sombong serta mementingkan diri sendiri. Di samping itu, kita juga perlu  mesra dengan semua masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Catatan 16


Catatan 16
Saya menyaksikan sebuah filem iaitu filem Adnan sempit 2. Filem ini mengisahkan Adnan yang bercinta dengan Nadia yang merupakan anak kepada seorang ahli korporat yang terkenal. Adnan  yang bekerja sebagai seorang budak pejabat telah diminta untuk berubah  menjadi seorang ahli korporat jika mahu mengahwini Nadia. Adnan diminta untuk belajar bahasa Inggeris dan belajar bermain Golf. Adnan menghadapi pelbagai kesukaran dalam menyelesaikan cabaran yang diberikan kepadanya.

Komen:
Cerita ini saya anggap sangat menarik kerana ia dapat menonjolkan budaya sesetengah masyarakat di Malaysia. Cerita ini memaparkan golongan elit iaitu ahli korporat dan golongan biasa. Golongan atasan ini lebih mementingkan penggunaan bahasa Inggeris dan meminggirkan bahasa Melayu. Bukan sahaja bahasa, malahan budaya orang Inggeris cuba diserap dalam kehidupan mereka. Antara budaya seperti makan menggunakan sudu, bermain permainan eksklusif seperti GOLF dan menggunakan kasut hingga ke dalam rumah.  Semua urusan syarikat juga menggunakan bahasa pengantar Inggeris. Walaupun begitu, pada akhir cerita, Adnan membuktikan bahawa bahasa Melayu  boleh menjadi bahasa utama dalam bidang korporat. 

Saturday, 13 October 2012

Catatan 15



Saya melihat satu situasi ketika menonton drama televisyen. Situasi adalah seperti berikut:
Seorang wanita sedang memandu sebuah kereta di lorong kanan, tiba-tiba ada seorang pemandu lelaki memotong sambil memarahi wanita itu.

Lelaki itu menjerit “woi! Masuk la kiri dah tahu bawak ‘slow’ macam tu! Bodoh!”
Lelaki itu terus menekan minyak dan memecut laju.

Komen:

Bagi saya sendiri kelakuan sebegini tidak wajar dilakukan. Warga Malaysia perlu berbudi bahasa. Bahasa juga mencerminkan bangsa, menggunakan bahasa yang kasar boleh memecahbelahkan masyarakat. Walaupun berada di atas jalan raya, sikap hormat-menghormati serta budi bahasa perlu ada dalam diri pemandu.
Mungkin benar pemandu wanita itu melakukan kesilapan ketika memandu, tetapi tidak perlulah menggunakan bahasa yang kasar sebegitu. Menegur ada caranya dan bahasa yang lebih lembut perlu digunakan. Pemandu lelaki itu boleh menegur dengan cara memberi ‘hon’ atau nyalakan lampu. Cara sebegini mampu mencerminkan satu masyarakat yang harmoni.
Penggunaan bahasa yang kasar boleh menyakitkan hati manusia serta boleh menimbulkan kekecohan. Bagi memastikan tidak berlakunya pergaduhan maka perlulah kita menjaga bahasa pertuturan kita seharian.

Catatan 14



Sedang saya melayari internet, saya terbaca artikel tentang kebiadapan seorang anak kepada ibunya. Anak itu sanggup membunuh ibunya hanya kerana tidak mendapat duit untuk membeli dadah. Menurut artikel berkenaan, anaknya turut memaki ibunya setelah tidak mendapat duit. Saya berfikir sejenak, adakah masyarakat kita sudah hilang kesantunan dan hormat kepada orang lain.

Komen ;

Mungkin banyak di antara kita mendengar cerita daripada atuk dan nenek kita bagaimana mereka berinteraksi dengan orang yang lebih tua. Jikalau masyarakat dulu sangat berbudi bahasa dan baik tutur katanya terhadap orang yang lebih tua tetapi zaman sekarang ada sahaja anak-anak yang berani melontarkan kata-kata yang kurang sopan. Filem-filem Melayu klasik dahulu banyak menerapkan nilai-nilai berbudi bahasa. Sebagai contoh anak-anak membongkokkan sedikit badan apabila berjalan di hadapan orang tua, bersalaman dengan tetamu yang hadir, membuatkan air untuk tetamu dan bertanyakan khabar. Namun di dalam filem-filem atau drama zaman sekarang amat jarang dapat kita dapat melihat perlakuan seperti yang terdapat dalam filem-filem klasik. 

Catatan 13



Sewaktu sedang latihan drama, aku terpandang satu tulisan. Tulisan itu berbentuk arahan. Apabila ku amati seperti ada kesilapan menulisnya. Arahan tersebut berbunyi “ DILARANG MENGUBAH SUSUNATUR PERABOT”. Pada hemat aku, terdapat kesalahan dalam arahan ini. Perkataan SUSUN ATUR seharusnya tidak dieja rapat. Arahan ini terdapat dalam salah sebuah bangunan di dalam universitiku. Apakah tidak menjadi persoalan sekiranya ada pelawat yang melihat kesalahan ini.

Komen :

Bukan semua kata majmuk dieja dengan rapat. Hanya sebilangan kata majmuk yang telah mantap di eja rapat. Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan. Bentuk-bentuk kata tersebut ialah:
1. Antarabangsa
2. beritahu
3. bumiputera
4. jawatankuasa
5. kakitangan
6. kerjasama
7. olahraga
8. matahari
9. setiausaha
10. sukarela
11. suruhanjaya
12. tandatangan
13. tanggungjawab
14. warganegara
15. pesuruhjaya

catatan 12


Ketika aku sedang duduk di taman permainan di hadapan rumahku, aku melihat seorang perempuan cina tua bersiar-siar bersama seekor anjing. Anjing itu mengekori langkah perempuan itu. Perempuan itu bercakap-cakap dengan anjing itu. Anjing itu memberi respon seumpama faham dengan apa yang diperkatakan oleh wanita berkenaan. Sejurus kemudian, perempuan itu melemparkan sesuatu agak jauh. Anjing itu dengan pantas terus mengejar dan membawa semula benda berkenaan kepada tuannya. Sedang asyik melihat gelagat mereka, aku tersentak kerana ada sesuatu menggesel kaki ku. Rupa- rupanya seekor kucing yang mahu bermanja. Aku mengambil kucing tersebut dan meletakkannya di ribaku.

Komen:

Manusia dan haiwan seumpama tidak dapat dipisahkan. Saling memerlukan antara satu sama lain. Haiwan seperti anjing sering dikaitkan menjadi haiwan peliharaan orang Cina dan India manakala haiwan seperti kucing dan burung dikaitkan dengan orang Melayu. Batasan agama menyebabkan orang Melayu tidak menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan. Haiwan peliharaan ini mampu memahami arahan yang diberikan kepadanya. Haiwan yang dibela dari kecil mampu mengikut arahan tuannya. Haiwan ini juga mampu memberi respon setiap kata-kata yang diberi kepadanya. Dapat dilihat bahawa bahasa bukan sahaja dapat menghubungkan manusia dengan manusia malah manusia dengan haiwan.

Catatan 11

Sedang seronok melayan lagu di salah sebuah stesen radio terkenal negara, tiba-tiba terdapat satu lagu yang menggunakan campuran Bahasa Inggeris dan Melayu. Lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi Melayu. Jika tidak didengar dengan teliti, lagu ini sukar untuk difahami. Terdetik di hati ini, kenapa tidak dibuat lagu ini dalam satu bahasa sahaja. Apakah lagu itu tidak mampu popular jika menggunakan satu bahasa sahaja. Aku mengelamun seketika.

Komen:

Penggunaan dua bahasa dalam lagu pernah menjadi isu suatu masa dahulu. Walaupun tujuan sekadar hiburan, lagu ini mampu mempengaruhi bahasa pendengarnya. Lagu ini boleh diistilahkan sebagai lagu rojak disebabkan pencampuran bahasa. Lagu Melayu mungkin boleh hilang identitinya kerana kehadiran unsur bahasa lain dalam lagu. Selain itu, dapat dilihat hari ini, lagu asli atau disebut lagu etnik kreatif sudah jarang dihasilkan. Para penyanyi lebih suka kepada rentak Pop dan Rock. Lagu-lagu Melayu dilihat semakin terhakis. Tidak mustahil suatu hari nanti lagu Melayu asli hanya akan tinggal sebagai sejarah.

Saturday, 6 October 2012

Catatan 10


Sedang asyik aku mendengar sebuah siaran radio, aku tertarik dengan nama salah satu programnya. Program tersebut digelar “Hot tips”. Program ini menampilkan pelbagai tips-tips atau langkah-langkah mengenai sesuatu perkara. Hanya tajuk program Hot Tips, tetapi semua isi kandungannya berbahasa Melayu. Stesen radio tersebut merupakan stesen radio berbahasa Melayu yang popular.

Komen ;
Penggunaan istilah yang bercampuran seperti hot tips dalam media massa akan mempengaruhi pendengar. Lebih molek kiranya hot tip digantikan dengan kata tips hangat yang dapat menunjukkan identiti Melayu. Media massa dapat mempengaruhi orang yang mendengarnya lantas mempengaruhi bahasa yang digunakan. Kosa kata bahasa Melayu yang luas perlu digunakan sebaik mungkin untuk memupuk masyarakat yang cinta akan bahasa mereka

Catatan Sembilan


Dalam perjalanan pulang ke rumah dari kuliah, saya singgah di sebuah gerai menjual pisang goreng. Terdapat 3 org pelanggan lain yang turut singgah di gerai tersebut. Peniaga gerai tersebut merupakan seorang pemuda yang berumur lingkungan 23 tahun. Beliau terus melayan pelanggan yang datang ke kedainya dengan senyuman. Saya hanya menunggu giliran. Seorang pelanggannya bertanya
“dik, berapa harga goreng pisang ni?” tanya pelanggan itu.
“4 ketul RM1 harga pisang goreng ini mak cik. Kuih itu pun sama juga”, jawab pemuda itu.
“berilah saya RM2 goreng pisang tu.karipap tu bagi RM1 ye dik”, kata mak cik itu.
Setelah orang tua itu berlalu, saya bertanya kepada pemuda itu.
“pisang goreng atau goreng pisang ni bang?’.
“sama je dua-dua tu dik,nk berapa ringgit ya?” balasnya.
“RM1 jela bang”.balasku

Komen :
Penggunaan kata “goreng pisang” dan “pisang goreng” sering kali tersilap. Kedua-dua kata ini memeberikan makna yang berbeza. Goreng pisang merujuk kepada perbuatan sedang menggoreng pisang. Manakala pisang goreng merujuk kepada pisang yang sudah siap digoreng dan sedia untuk dimakan. Walaupun begitu, masyarakat kurang sensetif dalam hal ini. Mereka boleh menerima sama ada pisang goreng ataupun goreng pisang bagi merujuk kepada pisang yang sudah siap digoreng.

Catatan Lapan


Setelah sudah lama tidak menaiki bas, aku pun menaiki bas untuk ke Kuala Lumpur. Selesai aku mencari tempat duduk, aku melihat ke bawah terdapat seorang mak cik tua hendak menaiki bas. Di bawa bersamanya 3 beg plastik yang penuh isinya. Di belakangnya ada dua orang lelaki muda berbangsa Melayu. Mereka sekadar melihat makcik tua itu membawa beg itu. Datang pula seorang remaja perempuan mendekati makcik itu, dia menyapa lalu menawarkan diri untuk membantu. Makcik tua itu tersenyum lantas menghulurkan beg plastiknya. Perempuan itu turut membantu makcik berkenaan untuk menaiki bas. Di dalam bas, mereka duduk bersebelahan.

Komen :
Sikap seseorang akan terlihat daripada perbuatannya. Seharusnya sikap tolong-menolong dan ramah mesra perlu ada dalam kalangan anggota masyarakat. Dengan itu satu komuniti masyarakat yang kuat dapat diwujudkan. Budaya membantu orang lain perlu terus diamalkan untuk mengeratkan perpaduan. Bahasa yang lembut perlu digunakan untuk menyapa orang yang lebih tua. Ini bagi menunjukkan tanda hormat kepada mereka.

Catatan Tujuh


 Sebelum ini aku tidak pernah bertegur dengan jiran ku. Bukannya aku tidak mahu berkenalan, tapi aku agak penyegan. Kami sekadar bertukar senyuman. Aku selalu memikirkan cara untuk bertegur sapa. Pada petang itu, jiran ku membawa pulang sebuah kereta wira yang sudah ditukar enjinnya kepada enjin yang menggunakan sistem pendesak Turbo. Aku mempunyai minat yang amat mendalam terhadap kereta. Dia membuka bonet keretanya lalu memeriksa enjin. Aku dapat rasakan ada peluang untuk bertegur sapa dengannya. Aku membuang perasaan malu ku lalu pergi mendekatinya.
 “lawa enjin kereta ye bang”. Sapaku
Dia memandangkan lalu tersenyum
“bese je dik”, jawabnya sambil tersenyum.
Dia lantas menghulurkan tangan dan kami bersalaman. Kami terus berbual.rupa-rupanya jiranku bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat aku belajar sekarang.


Komen:
Hidup dalam masyarakat perlu lebih beramah mesra. Hal ini kerana jika dalam situasi kecemasan seperti kebakaran atau kecurian, jiranlah insan yang paling hampir dengan kita. Kita tidak harus sombong dan tidak bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Memang sukar untuk memulakan kata untuk berkenalan, tetapi itu perlu supaya kita dapat mengenali jiran-jiran kita. Selain itu teguran bukan semestinya dilakukan secara terus-terang, sebaliknya menggunakan kata kiasan pun boleh. Masyarakat yang sihat merupakan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni dan saling tolong-menolong.

Minggu ke-2 Catatan 6



Petang itu sungguh ramai orang yang melawat pantai Bagan Nakhoda Omar(BNO) Sungai Besar. Aku pergi menaiki motosikal. Aku terus mencari tempat untuk duduk. Akhirnya aku dapat duduk di sebuah pondok. Di tepi pondok itu terdapat sekumpulan remaja seramai 5 orang sedang duduk di atas motor. Dalam anggaran ku, mereka mungkin berumur dalam lingkungan 16-17 tahun. Tidak lama kemudian datang sepasang suami isteri duduk di bangku kosong di hadapan ku. Kumpulan remaja tadi galak bercerita. Dalam perbualan mereka yang berkisar mengenai motosikal, mereka juga menggunakan kata-kata yang agak mencarut. Aku melihat reaksi pasangan suami isteri tadi. Si isteri membisikkan sesuatu kepada suaminya sambil riak wajah mereka menunjukkan bahawa mereka tidak suka dengan kata-kata itu. Kata-kata mencarut dan kasar digunakan dalam perbualan dalam kalangan remaja tadi.



Komen:
Bahasa boleh melambangkan peribadi seseorang. Secara sedar atau tidak, setiap perbualan kita akan dinilai oleh ahli masyarakat. Masyarakat sekeliling akan memandang dan membuat kesimpulan berdasarkan pemerhatian mereka. Kata-kata yang kasar dan kesat harus dielakkan dalam perbualan. Dalam pemerhatian saya, golongan remaja suka menggunakan perkataan seperti ini kerana mereka mahu dilihat lebih dewasa dan ‘otai’. Perkara seperti ini tidak seharusnya dijadikan budaya dalam masyarakat kita kerana rakyat Malaysia terkenal dengan sikap santunnya yang tinggi. Secara tidak langsung akan memberi pandangan negatif kepada orang lain.


Thursday, 27 September 2012

Catatan Kelima


Situasi Lima
Sewaktu bersiar-siar di kawasan tanjung malim, aku melihat alangkah baiknya jika nama Proton City ditukar kepada Bandar raya Proton. Apakah jika bahasa Melayu digunakan akan jatuh taraf sesuatu perkara itu? Apakah jika menggunakan bahasa Melayu, kawasan berkenaan akan menjadi tidak terkenal? selain kawasan, nama jalan juga sering menggunakan bahasa asing. Antaranya Tapah Road. Pihak yang berwajib seharusnya memandang serius perkara ini.


Komen:
Pada pengamatan saya, bagi memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan, seharusnya penggunaannya diperkasakan. Terdapat banyak kosa kata dalam bahasa Melayu yang boleh digunakan.pencampuran bahasa ini akan menyemaikan budaya bahasa rojak dalam kalangan masyarakat. Penggunaan bahasa Melayu yang meluas juga akan mengelakkan generasi muda hilang kebanggaan kepada bahasa mereka. Terdapat golongan yang terlalu bangga apabila sudah mampu untuk berbahasa asing dan melupakan bahasa Melayu. Seharusnya perkara ini dibendung dari peringkat awal.

Catatan Hari Keempat


Situasi 4
Lampu isyarat mempunyai tiga warna iaitu hijau merah dan kuning. Hijau membawa maksud boleh jalan jika selamat, merah berhenti dan kuning bersedia untuk berhenti. Ketika aku pulang dari kuliah, aku melalui sebuah lampu isyarat berhampiran Petronas Tanjung Malim. Lampu isyarat ketika itu menunjukkan warna kuning, aku memperlahankan motosikalku dan bersiap- sedia untuk berhenti. Tiba-tiba aku dihon, aku cepat-cepat mengelak ke tepi. Sebuah kereta memecut laju walaupun lampu sudah bertukar merah. Aku hanya mampu menggelengkan kepala melihat gelagat pemandu kereta itu.
Komen:
Bahasa isyarat merupakan salah satu jenis bahasa. Jika di jalan raya, bahasa ini digambarkan melalui papan tanda dan lampu isyarat. Ia akan menggambarkan maksud-maksud tertentu. Pengguna jalan raya mesti mematuhi isyarat-isyarat ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Tindakan pemandu yang melanggar lampu merah itu menunjukkan bahawa pemandu berkenaan amat mementingkan diri dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Catatan Hari Ketiga

gambar hiasan

Situasi 3
Aku mengambil angin malam dengan bersiar-siar menaiki motosikal. Aku melalui jalan hulu bernam lalu masuk ke pekan tanjung malim. Aku terus menunggang motor ke arah BHP. Selepas lampu isyarat pekan tanjung malim, aku tersentak apabila melihat kilau lampu berwarna biru. Rupa-rupanya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) membuat sekatan jalan raya. Walau bagaimanapun aku terus memandu ke arahnya. Lampu berwarna merah diangkat oleh anggota JPJ  lalu menahan aku. Tanpa senyuman, anggota tersebut meminta kad pengenalan dan lesen memandu ku. Nada suara yang dikeluarkan juga agak keras. Aku dilayan umpama seorang pesalah. Setelah diperiksa, kad pengenalan dan lesen memandu ku diserahkan semula. terdetik dalam hatiku berlagak nya anggota JPJ itu
Komen:
Bahasa akan mencerminkan peribadi seseorang itu. Dengan bahasa kita boleh menilai sikap dan personaliti seseorang. Tidak salah sekiranya anggota JPJ itu menggunakan nada suara yang lebih berhemah. Mimik muka juga memainkan peranan ketika bercakap.  Senyuman dapat menggambarkan seseorang itu lebih mesra berbanding muka yang kelat sahaja. Dalam masyarakat, seorang yang lebih ceria atau selalu tersenyum akan lebih dekat dan dikenali dalam kalangan ahli masyarakat

Catatan Hari Kedua


Situasi 2
Sewaktu aku pulang dari kuliah, aku melihat satu peristiwa yang agak menyentuh hati. Aku menunggang motosikal dengan perlahan. Ketika aku hendak sampai ke lampu isyarat, aku melihat dari jauh dua orang yang  tua berjalan. Mereka berjalan dari kampung Berop menghala ke arah stesen minyak BHP. Aku memerhatikan tingkah laku orang tua itu. Lelaki tua itu memegang erat tangan pasangannya. Mereka jalan perlahan-lahan. Aku lihat wajah perempuan tua itu keletihan. Mungkin tidak mampu berjalan lagi. Lelaki tua itu terus memimpin wanita tua itu dan meneruskan perjalanan. Tiba-tiba aku berfikir mampukah aku jika sudah tua nanti melayani pasangan ku sedemikian…
Komen:
Bahasa bukan sahaja secara verbal, malah inverbal. Kelakuan lelaki tua itu memegang erat serta memimpin pasangannya menunjukkan bahawa dia amat kasih dan sayang terhadap pasangannya. Kadangkala sesetengah perkara tidak perlu dilafazkan untuk menyampaikan maksud. Cukup sekadar dengan perbuatan. Contoh lain yang dapat diambil ialah apabila jari telunjuk diletakkan di mulut, hal ini menandakan supaya orang lain diminta untuk senyap.

Wednesday, 26 September 2012

Catatan Hari Pertama



Catatan 1
Seorang ibu sering memarahi anaknya.
Aku tinggal dalam satu kawasan perumahan yang agak padat. Kedudukan rumah yang amat rapat membuatkan aku boleh mendengar suara jiran sebelah ku. Salah seorang jiranku mempunyai anak yang masih kecil. Anak tersebut dalam lingkungan umur dua atau tiga tahun. Semenjak aku tinggal di sini, aku sering kali mendengar ibu atau bapa kanak-kanak berkenaan memarahi anak kecil itu. Pelbagai kata yang agak keras dilontarkan kepada anak yang masih kecil itu.

Komen :
Pada pandangan saya, penggunaan kata-kata yang agak keras tidak sesuai untuk kanak-kanak. Persekitaran perkembangan kanak-kanak sudah pasti akan mempengaruhi sikap kanak-kanak itu kelak. Seharusnya sebagai ibu bapa, mereka seharusnya menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Sudah pasti sebagai ibu bapa, kita mahukan anak-anak menjadi insan yang baik dan berbudi pekerti. Perkataan yang kasar dan herdikan seharusnya dielakkan. Ibu bapa akan menjadi contoh kepada nak-anak dan seterusnya mempengaruhi sikap serta sahsiah diri. Pendekatan yang lebih berhemah akan membuatkan anak-anak lebih dekat kepada ibu bapa dan seterusnya mengelakkan kanak-kanak tersebut terlibat dengan perkara-perkara negatif.